Sunday, July 15, 2012

Kembara ke Tanah Haram #1

 Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana diberi peluang oleh Allah swt Yang Maha Kuasa untuk berkunjung di dua Tanah Haram yang terdapat di muka bumi ini. Perancangan untuk ke tanah suci lagi diberkati Allah ini sudah bermula sejak tahun 2010 lagi. Namun, ye lah kita manusia hanya merancang, sedangkan sudah tersurat di Loh Mahfuz bila tarikh sebenarnya kita akan ke sana. Dan dengan izin-Nya, buat pertama kali saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada 26 Jun 2012 yang lalu.

Berkenaan dengan peluang ke Tanah Suci ini, diceritakan oleh mutawif rombongan kami ini, bahawasanya ia sudah tersurat lama dahulu ketika seruan Nabi Ibrahim as lagi. Menurut beliau,  Kaabah telah pun dibina sejak dari zaman Nabi Adam as lagi,  Nabi Seth as dan seterusnya sehinggalah banjir besar Nabi Nuh as yang menenggelamkan seluruh dunia termasuklah Tanah Suci ini. Kaabah kemundiannya lenyap sehinggalah zaman Nabi Ibrahim as, yang mana baginda diperintahkan untuk membina kembali Kaabah ini dari sisa-sisa kehancurannya. Setelah selesai, baginda diarahkan oleh Allah swt untuk menyeru seluruh umat manusia untuk datang menziarahi Kaabah ini. Baginda bertanya kepada Allah swt, bagaimanakah caranya untuk menyeru manusia datang sedangkan kuasa nya sebagai manusia amatlah terhad, suaranya tidak mungkin didengar hingga ke seluruh pelusuk dunia. Maka Allah swt menjawab supaya tidak perlu risau kerana Dia akan menguruskan perkara itu dan memerintahkan Nabi Ibrahim as untuk menyeru sahaja. Maka, dari sebuah bukit yang saya sudah lupa namanya,  Nabi Ibrahim berdiri dan menyeru seluruh umat manusia, seruan itu lah yang kita selalu dengar dan lafaz " Labbaikallah humma labbaik.. "

Dengan kuasa Allah, seluruh umat manusia termasuk la roh yang belum ditiupkan ke dalam jasad manusia yakni termasuk la kita semua, datang. Mendengar seruan itu, ada yang mengangguk sekali, ada yang mengangguk berkali-kali, ada yang tak mengangguk langsung. Menurut mutawif itu, itu lah yang menetapkan berapa kali peluang kita ke Tanah Suci Mekah, jika roh kita mengangguk sekali, maka sekalilah kita ke sana. Begitulah menurut beliau. Wallau'alam.

Mekah Mukarramah adalah bumi yang gersang, kering dan berdebu. Sukar sekali untuk mencari tumbuh-tumbuhan di sekitarnya. Tambahan pula sekarang ini kerajaan Saudi sedang menyiapkan projek pembesaran Masjidil Haram, menambahkan lagi suasana berdebu di kota Mekah. Meskipun begitu, Allah swt merahmati bumi ni dengan pelbagai kelebihan, yang mana setiap amal kebajikan dan perbuatan baik kita akan digandakan 100,000. Tidak ada tempat di muka bumi ini yang mendapat keberkatan sebegini sebagaimana Mekah Mukarramah.

Sekian dulu, nanti akan bersambung kembali.

No comments: